email +603-80008000

PERSIDANGAN DIGITAL SEKTOR AWAM 2021

NORMA BAHARU PENDIGITALAN: MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN BERPAKSIKAN RAKYAT

Persidangan Digital Sektor Awam 2021 merupakan acara yang julung-julung kali diadakan yang mana pada tahun ini persidangan ini akan diadakan secara maya. Persidangan ini melibatkan penyertaan inklusif Pemimpin Digital Kerajaan iaitu Ketua Pegawai Maklumat dan Pengurus ICT Agensi Kerajaan, serta rakan strategik dari pihak industri termasuk pakar tempatan yang sama-sama berkumpul dan membincangkan pelbagai inisiatif dan potensi penambahbaikan bagi menghasilkan perkhidmatan Kerajaan yang lebih berkualiti dan mengutamakan keperluan pengguna terutamanya kepada rakyat. Sebagai langkah pragmatik dalam mendepani pandemik Covid-19, penganjuran persidangan pada kali ini diadakan dalam mod hibrid, iaitu gabungan persekitaran fizikal dan maya.

Kerajaan hari ini memahami bahawa transformasi digital bukan lagi satu pilihan. “Normal baharu” dan evolusi pantas dalam perkembangan teknologi digital telah membawa kepada perkembangan ekonomi GIG dan generasi baru yang menjurus ke arah digital disruptors. Untuk itu, Kerajaan perlu lebih kreatif dalam merangka kaedah dan cara baharu yang lebih berinovatif dalam menyediakan perkhidmatan Kerajaan yang bertunjangkan keperluan pengguna. Oleh itu, peranan Pemimpin Digital terutamanya Ketua Pegawai Maklumat dan Pengurus ICT Agensi Kerajaan perlu dipergiat untuk bertindak balas terhadap keperluan masa hadapan digital ini.

Masa depan digital (Digital future) dalam Kerajaan berteraskan idea bahawa semua perkhidmatan Kerajaan beroperasi secara digital pada masa akan datang. Kerajaan perlu mengembangkan kemampuan dan kompetensi dalaman bagi membolehkan pengendalian perkhidmatan Kerajaan adalah lebih efektif dan efisien. Selain itu, transformasi digital ini juga menghadirkan cabaran baru dan signifikan di mana Kerajaan perlu proaktif dalam memahami dan meramalkan rancangan tindakan bagi menghasilkan perkhidmatan digital Kerajaan yang mampu memenuhi keperluan segenap penggunanya.

Sehubungan itu, persidangan yang diadakan dalam satu (1) hari ini akan memberi peluang kepada Pemimpin Digital Kerajaan untuk saling berkomunikasi antara satu sama lain dan juga dengan industri untuk mewujudkan peluang untuk perbincangan yang bermanfaat dalam menghadapi masa depan digital.